Akak... Bagaimana Cinta & Khawin kerana Allah?

by Siti Fatimah on Thursday, 03 February 2011 at 19:32
"Kahwin kerana Allah, bukan kerana nafsu... macamana tu, kak? Realitinya ada keadaan macam ni?"  Menarik juga persoalan yang masuk ke dalam mesej pesanan ringkas saya dan saya ingin berkongsi pendapat tentangnya dengan pembaca iluvislam. Isu ini cukup menarik dibincangkan terutama sempena bulan Februari tidak lama lagi, di mana seluruh dunia menyebut tentang Hari Kasih Sayang atau Valentine yang jatuhnya pada 14 Februari. Walau apapun, Februari atau tidak, menyambut Hari Kasih Sayang atau tidak...

 isu cinta, kasih sayang dan perkahwinan adalah isu sejagat yang tetap segar sepanjang zaman.

Persoalan cinta, kasih sayang dan perkahwinan tanpa 'dicemari' nafsu adalah konsep ideal,  indah serta menjanjikan kebahagiaan sejati yang ingin sekali dinikmati serta diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Kekeliruan melanda fikiran ketika kita mahu mempraktik atau merealisasikannya dalam kehidupan seharian.  Akal sering tersilap menilai dan mata lahir pula sering tertipu. Garis pemisah antara niat 'kerana Allah' dan 'kerana nafsu' dalam proses membuat keputusan untuk bernikah, sama ada 'cinta sebelum nikah' atau 'cinta selepas nikah' begitu kabur kerana ia adalah 'soal hati' yang sukar dijangkau akal biasa dan mata lahir.


Rumahtangga, rumah dan bilik air

Istilah 'rumahtangga' menggambarkan rumah berserta keluarga yang menghuninya. Rumah sahaja adalah bangunan fizikal yang tidak banyak maknanya tanpa manusia yang menghuninya. Keluarga tanpa rumah tempat berlindung, walaupun  rumah itu kecil atau dhaif, pasti tidak lengkap dan sempurna. Rumah adalah keperluan untuk perlindungan dari hujan dan panas, tempat  istirehat fizikal, fikiran dan juga perasaan.  
Dalam rumah terdapat beberapa... bilik tidur, dapur, serambi, ruang tetamu, bilik bacaan, bilik air dan beberapa bahagian tambahan yang lain. Sedar atau tidak, bilik air adalah keperluan yang sangat kritikal dalam sebuah rumah. Bilik air mungkin tidak 'popular' dan bukan pilihan utama untuk dijadikan tempat berlama-lamaan, namun kehidupan manusia menjadi resah dan tidak selesa tanpa 'mengunjunginya'. Kelegaan yang dirasa selepas qadha hajat di bilik air memberi kesan kepada semua aktiviti yang digemari dalam rumah tersebut.

Antara membina rumah dan membina bina bilik air

Saya suka mengambil sebuah rumah fizikal sebagai metafora untuk menggambarkan rumahtangga yang didirikan atas niat 'kerana Allah' atau 'kerana nafsu'. Ketika membina rumah, hasrat utama adalah untuk ada tempat berlindung dari hujan dan panas, supaya keluarga dapat hidup dengan selesa. Keseluruhan bahagian rumah tersebut umpama rumahtangga yang dibina. Tanpa bilik air pasti tidak lengkap. Namun tentu suatu yang tidak kena jika rumah dibina dengan hasrat utamanya untuk membuat bilik air semata-mata dan bahagian rumah yang lain sebagai sampingan. Metafora inilah yang cuba saya gunakan untuk membezakan niat antara kahwin 'kerana Allah' dengan 'kerana nafsu'.
Jika bilik air sebagai niat utama, ini ibarat kahwin 'kerana nafsu'. Jika demikian maka pembinaan 'rumah' itu adalah semata-mata untuk buang air. Sebaliknya, jika niat utama adalah membina sebuah rumah yang lengkap dengan semua bahagian termasuk bilik air, ini ibarat niat kahwin 'kerana Allah'. Dalam keadaan niat seperti ini, buang air adalah pelengkap kepada keseluruhan fungsi utama rumah sebagai tempat perlindungan. Niat ini lebih menyeluruh dan mengambil kira banyak faktor.
Tambahan lagi, manusia tidak membina rumah bermula dengan membina bilik air, tetapi dimulakan dengan asas atau foundation yang kukuh, lantai, dinding dan bahagian-bahagian utama. Begitu juga dengan pembinaan rumahtangga – ia mesti bermula dengan asas yang cukup kukuh supaya tidak mudah runtuh. Misi dan visi pembinaan rumahtangga seharusnya diambil kira sejak dalam proses memilih pasangan.

Misi dan Visi Perkahwinan

Ikatan perkahwinan merupakan ikatan antara dua manusia berbeza jantina, maka semestinya ia mesti berlandaskan misi dan visi penciptaan manusia itu sendiri iaitu sebagai hamba Allah dan khalifah di mukabumi. Selaras dengan dua misi penciptaan manusia, maka misi dan visi perkahwinan adalah sebagai pembentukan keluarga sebagai 'team work' melaksanakan misi hamba dan khalifah dalam perjalanan menuju akhirat. Inilah asas yang paling kukuh dan niat yang paling murni 'kerana Allah'. Ini bermakna perkahwinan adalah suatu tanggungjawab.
Untuk memikul pertanggungjawan sebagai hamba dan khalifah, pastinya pelbagai halangan, rintangan dan beban yang terpaksa dipikul bersama. Oleh itu, sangat penting wujud rasa cinta dan kasih sayang sebagai pengikat antara suami, isteri, anak-anak dan seluruh keluarga. Cinta dan kasih sayang adalah anugerah dari Allah yang Ar Rahman dan Ar Rahim kepada hamba-hamba-Nya. Ikatan rasa cinta dan kasih sayang menyebabkan beban yang terpikul di bahu terasa ringan, kemarahan yang mungkin timbul antara pasangan dapat diredakan dengan kemaafan.
Ekpresi kasih sayang antara manusia terluah dalam banyak bentuk termasuklah hubungan seksual yang dihalalkan melalui akad ijab dan kabul. Persepsi 'nafsu' dalam kefahaman kebanyakan manusia dikaitkan dengan hubungan seksual serta isu-isu berkaitan dengannya. Dengan lafaz akad nikah, ekpresi kasih sayang  dalam bentuk hubungan seksual dihalalkan, malah diiktiraf oleh Allah sebagai ibadah dan pahala kebajikan. Tanpa ijab kabul, hubungan seksual meyandang label jijik,  kotor dan hina.

Kerana Allah – merujuk kepada peraturan-Nya

Niat 'kerana Allah' dalam percintaan dan perkahwinan direalisasikan dengan merujuk kepada peraturan yang ditetapkan oleh Allah s.w.t di setiap peringkat prosesnya. Keredhaan Allah sebagai asas ketika memilih pasangan untuk membentuk 'team work' rumahtangga, patuhi segala suruhan dan tinggalkan larangan termasuk dalam aspek pemenuhi tuntutan fitrah keperluan seksual.
Khalifah-khalifah dan hamba-hamba Allah yang lahir dari perkongsian hidup dalam perkahwinan tersebut adalah tanggungjawab pasangan tadi supaya generasi baru ini membesar menjadi manusia yang berfungsi menjadi pemakmur bumi, bukan perosak mukabumi.

Pencemaran dalam niat

Niat 'kerana nafsu' digambarkan oleh keadaan dimana perkahwinan adalah semata-mata untuk memenuhi tuntutan fitrah seksual. Sedar tak sedar, niat 'menghalalkan' hubungan seksual dalam ekspresi cinta dan kasih sayang secara lahiriah kelihatan begitu 'murni'. Ya, sememangnya ini tidak salah... namun jika semata-mata kerana itu, ia ibarat membina rumah bermula dengan membina bilik air sebagai asas utama. Bagaimanapun, sekurang-kurangnya ada juga peraturan Allah yang diambil kira.
Rumahtangga begini  tidak akan kukuh, cepat runtuh, mudah goyah dan akab berkubur begitu sahaja. Persoalan tanggungjawab dengan mudah akan diketepikan.  Kebahagiaannya tidak berpanjangan. Rumahtangga akan selalu bermandikan pergaduhan dan konflik.  Anak-anak yang lahir dalam suasana ini ini tidak berkembang menjadi khalifah dan hamba Allah yang berfungsi untuk memakmurkan bumi, malah mungkin menjadi generasi perosak muka bumi. Kesudahannya bukan syurga di akhirat malah kesengsaraannya bermula di dunia lagi. Na'uzubillah!.

Kerana Nafsu semata – membujur lalu melintang patah

Ekpresi cinta dan  kasih sayang atas dorongan nafsu semata-mata tergambar dalam kehidupan seharian ketika peraturan Allah tidak diendahkan, batas hukum syarak diketepikan, sehingga andai berlaku pertembungan antara hukum Allah dengan keinginan nafsu, hukum Allah diketepikan dan tuntutan nafsu dipenuhi. Membujur lalu, melintang patah... inilah gambaran niat semata-mata 'kerana nafsu'. Anugerah cinta dan kasih sayang dari Ar Rahman dan Ar Rahim dikhianati dengan ekspresi dalam bentuk zina.

Sifat Maha Pengampun Allah dijadikan pertaruhan dalam permainan nafsu

"Allah fahamm... kan dia yang ciptakan kita. Lagipun Allah kan Maha Pengampun..." demikian kata-kata yang lahir dari dorongan nafsu yang bertopengkan nama Allah.
Peluang  taubat di eksploitasi semahu-mahunya sehingga terlupa bahawa Allah juga ada sifat Maha Menghukum. Dalam pengaruh nafsu, syurga dan neraka seolah-olah tidak wujud.
Semoga Allah melindungi kita dari pengaruh cinta nafsu semata-mata.

Destinasi akhir ekspresi cinta

Stesen terakhir cinta kerana Allah dalam ikatan rumahtangga adalah syurga yang kekal abadi di akhirat. Sebaliknya, stesen terakhir cinta kerana nafsu adalah neraka yang penuh siksaan. Allah serahkan pilihan di tangan kita yang diberi selendang sebagai khalifah muka bumi.
Allah sediakan syurga untuk manusia tinggal dan Dia ciptakan Neraka sebagai peringatan bahawa ada risiko menanti jika manusia memilih untuk tidak tunduk kepada-Nya. Pilihan yang Allah buka juga berlaku dalam soal ekpresi cinta dan kasih sayang... Semoga Allah memimpin dan memberi taufik dan hidayah untuk kita menikmati anugerah cinta dari Dia yang Ar Rahman dan Ar Rahim.

by ;  Ta'arruf Llallahi on Thursday, February 3, 2011 at 5:05pm


0 comments to " "

Post a Comment


Followers

About This Blog

Blog Archive

Web hosting for webmasters