Petua Untuk Menegur Orang


Petua Untuk Menegur Orang

by Muslimah Solehah on Saturday, 29 January 2011 at 03:27
Perbezaan pendapat dan pandangan yang berlainan adalah sesuatu perkara yang lumrah. Apabila ia berlaku jangan sesekali ada di antara kita dengan mudah membuat kesimpulan yang menjurus kepada prasangka kononnya ia bertujuan memburukkan sesiapa. Allah s.w.t. telah mengingatkan kita dalam surah Yunus ayat 36 dengan menegaskan, ‘‘Prasangka itu tidak mendatangkan kebenaran apa pun.”Oleh itu jika tercetus sesuatu isu antara kita dan terwujudnya perbezaan pendapat atau terbentuk sesuatu teguran, ia seharusnya ditangani dengan sebijak-bijaknya. Janganlah pula kita terlalu gopoh ke hadapan dengan membuat andaian yang bukan-bukan atau berhujah dengan penuh emosi sehingga terwujud cabar-mencabar. Sebaliknya teguran atau sesuatu pandangan itu perlu diteliti dan dihalusi sertai dikaji kebenarannya.

Islam telah menggariskan dalam membuat teguran, kita haruslah berhati-hati apatah lagi jika kita cuba bertindak sebagai ‘orang perantaraan’ bagi menjelaskan sesuatu perkara.

3 faktor yang digariskan oleh Islam boleh menjayakan sesuatu teguran itu ialah:

1. Tidak merendahkan ego orang yang ditegur
2. Mencari waktu yang tepat
3. Memahami kedudukan orang yang ditegur

Islam memberi panduan yang jelas dalam kita memberi teguran dan bagaimana sikap kita apabila ditegur. Kita tidak harus melatah apatah lagi terlalu emosional sehingga menyebabkan kita melafazkan kata-kata yang tidak sepatutnya. Semua itu tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya hanya akan mengeruhkan lagi keadaan, tidak kira samaada kita pemimpin atau tidak, tetapi apa yang kita perkatakan pasti akan dinilai oleh manusia. Kalau kita gagal mengawal perasaan kita berhujah, pasti akan menyebabkan berlaku tuduh-menuduh yang kesudahannya akan mencetus permusuhan antara kita.

Islam tidak hanya mengajar etika menegur umat seagama tetapi Islam juga mengajar kita bagaimana cara menegur yang betul kepada umat daripada agama lain. Ia terkandung dalam Al-Quran melalui perintah Allah kepada Nabi Musa dan Nabi Harun untuk berkata lembut kepada Firaun seperti mana firman-Nya dalam surah Thaha ayat 44 yang bermaksud;
‘‘Berbicaralah kalian berdua kepadanya (Firaun) dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut.” 

Oleh itu kita perlulah berhemah apabila menegur “kesilapan” orang lain. Jangan kita mudah ikut hati atau emosi kita tanpa menyiasat keadaan sebenar. “Kesilapan” orang lain mungkin bukan “kesilapan” bagi mereka, kerana mungkin mereka ada sebab-sebab yang kukuh yang mendorong mereka membuat sesuatu perkara. Jadi, eloklah kita siasat atau Tanya dengan cara berhemah untuk mengetahui kedudukan sebenarnya.




 ·  · Share


0 comments to "Petua Untuk Menegur Orang"

Post a Comment


Followers

About This Blog

Blog Archive

Web hosting for webmasters